Roses are Red, Violets are Blue

Love never crossed my mind until the day that I met you..

Kerana Terlalu Sayang - satu peringatan untu diri ini

Kerana Terlalu Sayang



Setiap yang bermula, pasti ada akhirnya. Setiap yang hitam, pasti ada putihnya. Setiap yang kabur, pasti ada jelasnya. Dan setiap yang benci, pasti ada sayangnya. Setiap yang sedih, pasti ada gembiranya. Begitulah, setiap yang hidup, pasti ada matinya.

Dulu, ketika dia hidup, baktinya berbuah rasa kasih. Dia penyeri kehidupan kita. Kadang-kadang, hanya dengan memandang wajahnya, kita merasakan tenang dan senang. Seolah-olah, diwajahnya itu ada nur yang menceriakan, ada jalan keluar setiap kebuntuan. Saat kita sedih, dia datang, tanpa berkata apa-apa dia mengusap kepala kita. Hanya dengan itu, kita sudah dibumbui ketenangan. Luka bertukar suka, pahit ditelan manis, dan segala derita hilang, hanya dengan senyuman di wajahnya.

Kita tahu, dia bakal pergi suatu hari nanti. Tapi, saban hari kita mendoakan, agar lebih baik jikalau kita yang pergi dahulu. Sungguh, kita tidak tegar kehilangannya, kerana kehilangan itu suatu penyiksaan. Bukan kita menghalang ketentuan Allah, tapi kerana terlalu sayang… terlalu sayang. yang itulah ikatan kita dan dia, jika tidak, biar berjauhan sekalipun, kita tidak merasakan apa-apa. Tegarnya Allah ‘merampas’ kekasih kita, begitukah Allah, suka melihat kita berduka?

Tidak. Kita yang melihat diri sendiri, justeru jika kita yang berduka, maka kita yang menilai. Antara sayang kita kepada dia dan sayang Allah kepada dia, yang mana lebih bernilai? Sanggupkah kita bertanding dalam mengukur sayang kita dengan sayang Allah? Usahkan sanggup atau tidak, layak pun sudah tiada. Allah cuma cebiskan sifat sayang sesama hamba dengan kadar yang sedikit, itupun sudah meronta-ronta kehilangan, sedangkan, di sisi Allah, sayang itu lebih bermakna dan bernilai.

Biarlah, dan redhalah, disana ada Allah yang menjaganya. Ada mahligai untuknya, dan dia bakal menanti kita jua. Cuma masa sahaja yang menentu, samada, kita bakal menyusulnya cepat, atau lambat.
Adakah kehilangan dia lebih bermakna daripada kehilangan jati diri? Bersedihlah kerana kehilangan yang sementara itu, tapi usah memendam rasa terlalu lama. Usah berkabung macam puteri hilang takhta. Tapi, belajarlah untuk menerima hakikat. Itu satu ujian daripa Allah juga, kerana mungkin, hakikat yang lebih pahit dari itu bakal menyusul nanti. Bersedia untuk menerima, kerana hakikat adalah sesuatu yang amat pahit.
Doakan semoga rohnya bahagia di sana, bersama dengan mereka yang telah pergi, dan bersama dengan baktinya buat kita dahulu. Berdoalah agar penamat baginya ialah syurga yang tersergam indah itu, agar, dia bisa mempersiapkan sebuah mahligai untuk menyambut kehadiran kita kelak.

Utuskan salam alfatihah, sebagai peneman yang kita utus untuk menjaganya. Tapi, usah kita lupa, Allah sentiasa menjaganya. Kadang-kadang kesyukuran kita belum cukup atas segala nikmat dan anugerah yang Allah berikan. Sebab itulah, Dia mengambil kembali nikmat dan anugerah itu. Mungkin juga, kehilangannya menyebabkan kita lebih memahami erti tawakkal, justeru, itu satu lagi ujian buat kita.
Dia sudah pergi, bersama dengan kasih yang kita resmi. Segala kenangan kita dan dia di dunia, kita basmikan dengan satu doa. ‘Ya Allah, pelihara dia disana’.

Tidak wajar kita berbungkam, dengan langkisau yang menumpang. Kerana angin ribut bakal berakhir jua. Kata pepatah ‘kita tidak akan berpijak pada air yang sama di sungai, kerana ianya sudah mengalir pergi’. Usah diingatkan terlalu, apa yang telah berlalu. Dengan kehilangan dia, mungkin kita perlu lebih belajar untuk menghargai sesuatu atau seseorang.
Dalam diam, bermujahadahlah kita untuk menerima hakikat yang selalunya pahit. Dalam diam, berdoalah agar kita juga pergi menyusulnya suatu hari nanti. Cubalah, untuk belajar menerima kehilangan, kerana kehilangan bukanlah asing dalam kehidupan.
Bukan kita tidak sanggup, tapi kerana terlalu sayang. Bukan kerana tidak mampu menerima hakikat, tapi ikatan kita terlalu kuat. Kehilangannya mungkin membuatkan kita belajar untuk lebih bersyukur. Tiada apa yang kekal di dunia ini, itu hakikat yang harus kita terima.
Atau kita lebih terbelajar untuk tidak terlalu menyayangi, tidak terlalu mencintai. Kerana itu akan membuatkan kita hilang kualiti peribadi. Saat kehilangan, apa yang harus difikirkan lagi. Segerakan persiapan, tabahkan jiwa, dan runtunkan hati untuk lebih menerima.

Dahulu kita sudah memberikan sepenuhnya kasih kita kepada dia. Ikhlaskan semua itu. Kerana, jika kita ikhlas memberi, mengapa kita takut untuk tidak menerima? Apa yang berlaku, semuanya bermakna untuk sesuatu, sesuatu keikhlasan. Lihatlah, Allah bukan ingin menghancurkan kasih dan sayang kita, tapi Allah ingin sayang kita pula, lebih dari sayang kita kepada dia dahulu.
Terimalah perpisahan dengan tenang. Kerana itu lumrah kehidupan. Biarpun pahit, semuanya satu suratan.
Sahabat, bersedihlah untuk kita yang belum tentu bagaimana akhirnya kita.

Redha Ibu Untukmu - 40 hari telah berlalu



Hari ni genap 40 hari Arif Rifqi pergi meninggalkan kami.. Petang tadi singgah kubur Arif.. nak jenguk Arif.. dah 3 4 hari ibu tak datang.. bukan tak nak datang sayang.. Ibu cuba sesuaikan masa..lagi ayah dah start kerja.. Nanti ibu datang ziarah Arif lagi ye sayang.

Banyak yang hendak dikongsi mengenai sakit yang di deritai Arif tapi aku masih belum kuat sepenuhnya untuk mencoretkan kembali satu persatu peristiwa duka ini,, sekarang ini hanya bertahan mengumpul kekuatan dan kekal redha atas ketentuan Allah.. dugaan untuk kami, pengajaran juga untuk kami. Bukan tidak redha cuma kenangan Arif begitu kuat dalam hidupku. Manakan mungkin ibu melupakanmu nak.. dari lahir hingga kau pergi kita tak pernah terpisah.. hanya 8 hari saja sebelum itu..itupun kerana ibu terpaksa tinggalkan abang dengan ayah untuk melahirkan adik Afif. Masih terbayang liuk gerak lincahmu.. satu persatu ibu kena berfikir untuk menjawab segala persoalanmu.. juga pangkuan terakhir ibu untukmu..masih segar terbayang dlm ingatan.

Genap sebulan Arif pergi, kami ada appoinment dengan pihak hospital Muar untuk sesi kaunseling. Ibu paksa kuatkan kaki melangkah pergi ke wad daycare.. melalui bilik ISO wad 15 dimana tempat  terakhir Arif tinggalkan ibu.. Allah.. Allah.. Astaghfirullah.. Allahuakbar.. kuatkanlah aku ya Allah..Allah maha pengasih lagi maha penyayang. Macam-macam soalan doktor kami kena jawab.. atas dasar redhalah ibu mampu bertahan di sana..

Khamis baru ni pula ibu dan ayah pergi menempah kepuk untuk Arif.. Insyaallah dalam sebulan siaplah untuk tanda persemadianmu nak.. Hanya Allah tahu perasaan ibu masa memberikan butiran Arif.. getar rasa hati ini..

Sayang ibu, ibu tahu Arif bahagia di sana, kekal sihat, dan melupakan segala penderitaanmu di dunia ini nak,, secara tak langsung mengubat hati ibu.. wildan syurga ibu.. ibu jumpa artikel ini yang mana sedikit sebanyak membantu ibu untuk terus tabah. Moga ibu, ayah & adik Afif mendapat tempat yang sama denganmu disana, dan semoga kami antara yang mendapat syafaat Rasulullah S.A.W untuk bersama-sama Arif disana.. insyaallah..amin.

Al-Fatihah buatmu sayang Arif Rifqi.
23072012 - 03092015


Disamping para malaikat dan Hurul-aini (bidadari syurga), maka kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga. Sabda Rasullulah saw yang bermaksud : " Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya : " Wahai Jibril, siapakah mereka itu?" Jibril menjawab : Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu di asuh oleh Nabi Ibrahim as sampai orang tuanya datang." (HR. Abu Daud)

Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, dia alam Barzakh dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi Ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar,hisab,mizan dan sebagainya.

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud : "Tiap-tiap anak orang Islam yang mati sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah." (HR. Bukhari dan Muslim)

Setelah dipindahkan ke dalam syurga, maka anak-anak kecil ini lupa kepada kehidupan dunia. Mereka lupa kedua ibu bapanya, lupa kepada kampung halamnanya dan sebagainya. Tiba-tiba pada suatu hari, ketika mereka sedang bermain-main menikmati kesenangan syurga, maka ada malaikat yang memberitahukannya: "Wahai Wildan, lupakah kamu kepada kedua orang tuamu?Sekarang mereka sudah berada di pintu syurga. "Ketika itulah baru mereka tahu dan ingat kembali kepada ayah bonda mereka yang selama ini mereka lupakan.

Mendengar apa yang dikatakan oleh malaikat itu, dalam keadaan menangis dan membawa air dengan segera mereka berlari menuju ke pintu syurga. Sesampainya di sana, mereka melihat Hurul-aini sedang tegak berbaris sepanjang jalan dengan memakai pakaian dan perhiasan yang serba indah.

Setelah pintu syurga terbuka, dengan diiringi nyanyian merdu Hurul-aini, maka orang-orang pun berebut masuk ke dalamnya, dan ketika itulah anak-anak kecil ini sibuk mencari kedua ibu bapanya. Mereka mencari ke sana ke mari, tetapi tidak berjumpa. Sambil menangis dan memgang air tangan maka pergilah mereka kepada malaikat serta bertanya: "Wahai malaikat, mana ayah dan ibu kami?"

Menjawab malaikat: Wahai Wildan, sungguh malang nasib kamu, kedua orang tua kamu terjatuh ke dalam neraka." Mendengar ungkapan yang demikian itu, maka anak kecil tadi menangis sejadi-jadinya, menangis menghiba dengan ratapan yang menyayat hati: "Wahai ibuku, wahai ayahku,apakah kesalahanmu,apakah dosamu sehingga kamu terjatuh ke dalam neraka?Begitulah ratapan mereka.

Berkata Malaikat: "Wahai wildan jangan menangis, pergilah kamu memohon bantuan kepada Nabi Muhammad SAW." Setelah anak kecil ini mengadu kepada Nabi Muhammad SAW, maka Nabi Muhammad pun mengangkat kedua tangannya berdoa, lalu dikeluarkanlah orang-orang mukmin yang berda dalam neraka itu. Inilah syafaat Nabi Muhammad SAW yang ketiga di akhirat. Petama pada waktu ditimbang antara dosa dan pahala, yang kedua pada waktu meniti Shiratul Mustaqim yang ketiga ketika mengeluarkan orang dari dalam neraka. Maka ketika itu bertemulah antara anak-anak kecil tadi dengan kedua orang tuanya dengan perasaan gembira.

Firman Allah SWT yang maksudnya : "Pada hari itu mereka berjumpa dengan perasaan gembira. " (Ad-Dahr: 11)

PUISI BUAT RIFQI KU WILDAN SYURGA

Rifqiku (Pendampingku Muhammad Arif Rifqi B. Hasnor)
 
Rifqiku..
Nov 2011 gembira syukur kami tak terperi
Khabarmu akan melihat dunia 8 bulan nanti
Disaat kami dahagakan penyeri
Setelah 4 tahun lama menanti

Rifqiku
23 Julai 2012 tarikh diingati 
Anugerah Allah yang kami nanti
Ramadhan 3 1434H ibu gagahi
Melahirkanmu dengan penuh kasih

Rifqiku
Hadirmu memberi warna
Peneman ibu disaat suka dan duka
Segala cabaran kita tempuhi bersama
Seindah namamu Rifqiku pendampingku jua

Rifqiku
Bagaikan gugur jantung ini 
Disaat kami dikhabari
Kau menderita sakit duniawi
Bukan calang-calang dideritai

Rifqiku
Disaat ibu kandungkan adikmu
Kita berempat berumahkan wad
Luluh hati ibu melihat kau merayu
Disaat mohon belas kasihan
sepanjang kau mendapatkan rawatan 

Rifqiku
Ibu serahkan buah hati ibu pada Allah
Disaat adik Afif hendak menjengah dunia
Tidak sabar agaknya hendak berjumpa
Menemanimu mengharung segala

Rifqiku
8 hari itu siksa bagi ibu
Denganmu tiada disisi ibu
Siang malam ibu menatap gambarmu
Menunggu kepulangan duhai anakku

Rifqiku
Saat itu menjelma lagi
Dikala kami dikhabari
Penyakitmu kembali lagi
Perlu rawatan yang kuat sekali
Tidak sekali ibu sanggupi
Melihat anak ibu tersiksa lagi

Rifqiku

Segala pelusuk kita jelajahi
Mencari penawar pengubat diri
Melihat kau tersenyum disisi
Tekad ibu agar kau pulih kembali

Rifqiku
Aidilfitri 1436H itu takkan ibu lupa
Senyummu menawan keletahmu manja
Disisi Afif penuh gayanya
Rupanya terakhir kau beri tanda

Rifqiku
Puas sudah kau menderita
Tanggisanmu sudah reda
3 September 2015 kau pergi jua
Menghadap Allah sang pencipta

INNALILLAHIWAINNAILAIHIRAJIUN
Mudahnya kau dijemput Ilahi
DariNya kau datang
KepadaNya kau pulang
Tak kulepas wajahmu kupandang
Buat tatapan terakhir untukku bawa bekal
Pergimu kuiringi dengan keredhaan
Walau dihati penuh rintihan
Pergilah sayang buah hati ibu
Ketaman Firdausi menemui penciptamu
Ibu disini bertabah hati demi ayah dan juga adikmu

Damailah sayang wildan syurga ibu
Deritamu sudah tiada lagi
Kuserahkan buah hatiku Ya Allah kepadaMU
Dengan tenang jemputanmu anakanda sahuti

Berpisah kita didunia selamaya
Bahagialah Rifqiku
di taman sana
Wahai wildan syurga ibu sayang
Doa ibu amalan memihak kita
Berhimpun bersama keluarga tersayang
Mengharap syafaat Rasulullah tercinta
Dihari kami dihimpunkan sana
Jemputlah kami wahai anakanda
melepaskan kerinduan yang tak terhingga 

Ya Allah anugerahmu yang tak terhingga
Muhammad Arif Rifqi Bin Hasnor





 





About Me

Ibu kepada Muhd Arif Rifqi & Muhd Afif Rizqi Image result for emoticon juga tukang sibuk kepada En. Hasnor M Tahir Image result for emoticon

-Noha Salleh-

Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wildan Syurgaku Muhd Arif Rifqi Bin Hasnor

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Afif Rizqi

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Today's Weather

Followers

Total Pageviews

Selamat Pagi Cinta..